Dapur Tempur Ra-ra
TV9 akan menyiarkan program realiti masakan Dapur Tempur Ra-Ra sempena bulan Ramadan dan Raya. Program ini akan bermula pada 26 Mac 2023 dan disiarkan setiap hari Ahad, pukul 8.30 malam.
Yasmin Hani akan menjadi hos bagi program realiti Dapur Tempur Ra-Ra, sementara Dato’ Cef Ismail sebagai cef selebriti bersama dengan penerbit dan pengarah terkenal, Michael Ang, akan menjadi juri tetap.
Musim ini, setiap minggu akan menampilkan dua pasangan, iaitu pasangan finalis Dapur Tempur musim lalu dan pasangan keluarga selebriti berlainan untuk menyediakan dua hidangan mengikut tema yang diberikan. Namun, kemahiran memasak mereka akan diuji dengan pelbagai cabaran menarik untuk menghangatkan lagi medan pertempuran memasak dalam Dapur Tempur Ra-Ra.
Peserta akan berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti Simpul Kasih di mana mereka perlu memasak dalam keadaan tangan diikat bersama pasangan masing-masing. Sementara cabaran Tiru Macam Cef memerlukan peserta menyediakan hidangan yang telah disediakan oleh Cef Ismail tanpa mengetahui resipinya. Berasaskan tema yang berkonsepkan aneka juadah makanan sahur, berbuka puasa dan hidangan raya, peserta akan dinilai dari segi rasa, kreativiti serta persembahan hidangan.