Filem2000s

Filem Impak Maksima (2007)

Sinopsis Impak Maksima

Ayie ialah seorang anak muda yang masih menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi. Ayie amat gemar dengan sukan bermotor iaitu lumba kereta, Ayie sering melibatkan diri dengan perlumbaan kereta haram dan melepak bersama 2 orang rakan baiknya iaitu rakan sekolej Loyai dan Amran, seorang mekanik kereta.

Ayie sering ditegur oleh abangnya, Johari yang telah menjaganya semenjak ibubapanya meninggal dunia. Johari mengusahakan sebuah bengkel kereta di mana tempat Amran bekerja. Suatu ketika dahulu, Johari seorang pelumba rally profesional tetapi telah berhenti kerana tidak mahu adiknya mengikut jejaknya.

Ayie juga begitu terkenal di kalangan pelajar-pelajar kolej, Ayie telah terserempak dengan seorang bernama Eva Liana yang begitu cantik dan telah menarik perhatiannya. Tumpuan Ayie lebih diberikan kepada Eva, sehingga sudah mula kurang untuk berlumba dan melepak dengan rakan-rakan.

Suatu hari Loyai didatangi Ray, seorang pusher dan terkenal dengan aktiviti haramnya. Ray ingin mencabar Ayie dalam satu perlumbaan Drag tetapi Ayie telah menolak kerana Ayie sudah ada temu janji dengan Eva Liana. Tanpa pengetahuan Loyai, Amran telah bertemu dengan Ray untuk menerima pelawaan Ray dengan mempertaruhkan wang sebanyak lima ribu ringgit.

Pada hari yang dijadualkan, maka berlangsunglah perlumbaan antara Amran dan Ray. Berita kekalahan Amran telah diketahui Loyai. Loyai dan Ayie sama-sama mencari Amran kerana mereka tahu bahawa Amran berada di dalam bahaya. Dalam pada mereka berbincang, Ray tiba untuk memukul Amran dan Amran yang panik telah melarikan diri dengan keretanya.

Berlakulah adegan kejar mengejar di antara mereka, keadaan bertambah tegang apabila polis peronda melihat mereka membawa kereta begitu laju dan telah mengejar mereka. Ketika cuba melarikan diri daripada di kejar polis Amran telah terbabit dalam kemalangan, Ayie yang melihat kejadian tersebut cuba menyelamatkan Amran tetapi Amran tidak dapat diselamatkan dan Ayie telah ditahan atas tuduhan memandu secara berbahaya di jalan raya.

Johari kecewa dengan kejadian yang menimpa Amran dan Ayie. Di balai, Johari telah didatangi Maria, seorang polis menyamar yang telah lama menjejaki aktiviti Ray. Mereka berbincang dan satu cara sahaja yang boleh menyelamatkan Ayie. Polis meminta Johari mengaturkan perlumbaan dengan Ray untuk menangkap Ray dan Johari telah meminta pertolongan Loyai untuk mengaturkannya. Johari yang sudah lama berhenti berlumba telah berlatih semula dengan bantuan Loyai.

Pelakon Impak Maksima

Awal Ashaari, Cat Farish, Opie Zami, Eizlan Yusof, Yatt, Zul Huzaimy

Related Articles

Back to top button