Astro melancarkan game show antarabangsa yang tersohor, ‘Family Feud’, dalam tiga versi iaitu versi Bahasa Melayu, Tamil dan Inggeris. Versi Bahasa Melayu, akan ditayangkan pada setiap hari Isnin dan Selasa bermula 27 Mac 2023 jam 11.00 malam di Astro Ria. Versi Tamil pula akan ditayangkan pada Mei 2023 dan versi Bahasa Inggeris bakal menemui penonton bermula September 2023.
Mengikut jejak langkah pelawak terkemuka Amerika Syarikat, Steve Harvey, Nabil Ahmad (Bahasa Melayu), Dr J. Ram (Bahasa Tamil) dan Douglas Lim (Bahasa Inggeris) dipilih untuk menggalas tugas sebagai hos ‘Family Feud Malaysia’.
Untuk memulakan permainan ‘Family Feud Malaysia’, peserta pertama (Ketua Pasukan) dari kedua-dua pasukan yang bertanding akan tampil di podium untuk menjawab soalan pertama. Peserta yang paling pantas menekan buzzer akan memberikan jawapan terlebih dahulu. Jika jawapan yang diberikan berada di kedudukan teratas dalam survey, ahli-ahli pasukan tersebut akan memberi jawapan susulan. Jika tidak, pasukan lawan akan cuba memberi jawapan yang tertinggi untuk mengambil alih pusingan tersebut. Jawapan-jawapan yang diberikan didasarkan pada survey yang dibuat di kalangan 100 orang Malaysia. Pasukan yang mendapat markah tertinggi akan mara ke pusingan Fast Money dan berpeluang untuk memenangi wang tunai RM5,000.00.
Terdapat 18 episod yang terdiri daripada peserta-peserta bukan selebriti (orang awam) yang berdurasi selama 30 minit yang akan ditayangkan setiap Selasa, 11 malam. Sementara itu, terdapat sembilan episod istimewa berdurasi satu jam yang melibatkan para selebriti menjadi kapten untuk keluarga mereka iaitu ‘Celebrity Family Feud Malaysia’ yang bakal disiarkan setiap Isnin, 11 malam.
Bermula 1 Syawal hinggal 9 Syawal, 12 tengah hari, Astro akan menayangkan sembilan episod istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri. Episod-episod ini akan menampilkan barisan selebriti popular dari program-program terbitan Astro seperti ‘Projek High Council’, ‘Andai Itu Takdirnya’, dan ‘Isteri Halal’, serta alumni-alumni dari rancangan ‘Gegar Vaganza’ dan ‘Big Stage’. Kemenangan selebriti-selebriti ini akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang dipilih.